Jumaat, 19 Oktober 2012


"Walaupun rupa mu tidak ku kenal, tetapi lubang hidungmu tu tetap menjadi pojaan hati ku.."

petikan dialog Aziz Sattar dalam filem Seniman Bujang Lapok yang ditujukan kepada tuan director lakonan Ahmad Nisfu.. dalam kita mengenang ramai2 artis2 veteran terutamanya, mungkin tak semua yang tahu. dalam kita mengangkat dan mengagungkan yang sudah pun berada dipuncak.. namun kita terlupa dengan sekian insan2 seni yang dahulunya membuat kita ketawa terbahak2 tapi masa memamah nama insan seni ini dan terus tenggelam ditelan oleh arus berzaman..
petikan ini teman dapatkannya diruangan forum tempatan. agak sedih kisahnya dan agak terharu bila mengetahui cerita disebalik kehidupan riwayat seorang insan seni ini. berikut ialah sedutan artikelnya..
Mengikut arwah Norizan bekas isteri kepada P. Ramlee (dalam satu rancangan tv), Ahmad Nisfu merupakan antara teman rapat kepada P.Ramlee. Buktinya cukup nyata apabila sewaktu kemeriahan studio Jalan Ampas dahulu, setiap filem arahan P.Ramlee, Ahmad Nisfu boleh dikatakan kerap terlibat sama dan memegang watak agak besar. Gelaran Paq Besaq (Pak Besar) juga telah diberikan kepada Ahmad Nisfu oleh P. Ramlee kerana lubang hidung Ahmad Nisfu yang besar.
Pelakon yang berasal dari Tanjong Takong, Pulau Pinang ini pada awalnya ialah seorang pelakon bangsawan dan telah dilamar oleh Shaw Brothers untuk terlibat sama dalam produksi sebagai pelakon filem. Di sini bermulalah kerjaya Ahmad Nisfu sebagai pelakon filem. Walaupun memegang watak-watak yang kecil, Ahmad Nisfu dikatakan adalah seorang yang sentiasa bersyukur walaupun upah yang diterimanya adalah terlalu kecil. Hakikatnya, wang saku yang diperoleh digunakan untuk menyara dirinya sahaja kerana Ahmad Nisfu adalah seorang yang sebatang kara, tiada saudara mara, keluarga dan juga isteri.

Aktiviti social Ahmad Nisfu ini hanyalah dengan beramal di masjid di kawasan beliau tinggal dan juga di sekitar studio Jalan Ampas. Ahmad Nisfu dikhabarkan seorang yang pandai mengaji Al-Quran. Beliau juga merupakan seorang bilal di masjid di tempat beliau menetap dahulu.

Hinggalah penutupan studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu telah menghambakan dirinya dalam dunia lakonan. Selepas penutupan studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu telah hilang punca pencarian hidup. Filem Puaka dikatakan filem terakhir lakonan beliau.
~pillbox~
Disebabkan tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hidup dengan bantuan ehsan dari orang ramai. Kerana tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hanyalah menetap di Kubu Jepun (pillbox) di Jalan Labu. Di situlah juga tempat Ahmad Nisfu telah menghembuskan nafas terakhirnya di dalam keadaan yang sungguh daif tanpa sedara mara, ahli keluarga dan isteri. Hanyalah teman rapat.. - Balbo
berikut pula, sedutan dari artikel yang dikongsi oleh penulis yang lain..
Setelah tidak bermain wayang lagi, Ahmad Nisfu sering berada dikedai kopi dipersimpangan Joo Chiat, Geylang Road dan Changi Road. Kedai kopi itu juga dulunya tempat 'extras' Shaw dan Cathay berkumpul. Sering juga mereka diambil sebagai 'pak pacak' dengan gaji $5.00 ringgit sehari!

Selain meluangkan masa disitu, dia sering keseberang jalan untuk menikmati 'sop kambing' kegemarannya. Kedai mamak sop itu terletak dilorong masuk ke restoran Osman Ghani yang terkenal di Geylang Serai dengan 'kari ikan' dan 'dalca rusuk kambing'nya.

Ahmad Nisfu juga pernah menjadi imam di Masjid Onan Road (sudah tiada lagi - tapaknya diambil oleh Muslim Convert Association). Pernah satu kali, kami anak anak nakal, waktu sembahyang berimamkan Ahmad Nisfu, sedang dalam rukun, kami menyanyi perlahan lahan sesama sendiri "ura Cendana! Pura Cendana!" sambil menggigil gigil menahan ketawa. Habis sembahyang, tak sempat cium tangannya, kami diperambat hingga keluar masjid! "Korang usik aku ya!!! setan!!!"Itulah pengalaman nakal saya bersama 'Raja Alam Syahbana, raja negeri Pura Cendana'.

Mungkin kerana keuzuran dia tidak lama menjadi imam disitu. Saperti sudah berputus asa, dia hidup berteduh dikubu Jepon diJalan Labu tidak jauh dari Masjid Aminah diJalan Nanas off Geylang Serai. Lama juga dia tinggal bersendirian disitu dibawah ikhsan orang kampung sekeliling. Tidak lama kemudian dia meninggal, setelah beberapa lama hidup sebatang kara dalam penuh kedaifan.. 
 
Filem-filem lakonan Allahyarham;
1959
Nujum Pak Belalang
Musang Berjanggut
Pendekar Bujang Lapok
1960
Antara Dua Darjat
1961
Seniman Bujang Lapok
1962
Ibu Mertuaku
Laila Majnun
Siti Muslihat
Tun Fatimah
1963
Nasib Si Labu Labi
1964
Tiga Abdul
Madu Tiga
1966
Dua Kali Lima
Lain-lain
Bunga Tanjung
A Go Go 67 (1967)
Filem Puaka (1970)
Mat Karung Guni (1971)
Sejarah Hidup P.Ramlee

P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri bersamaan Rabu , 22 Mac 1929.Bapanya seorang ahli pelayaran yang berasal dari Lho’Seumawe , Acheh telah berkahwin dengan Che Mah binti Hussien pada tahun 1925 di Kubang Buaya , Butterworth.

                                                      Bapa P.Ramlee

                                                            Ibu P.Ramlee

P.Ramlee telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan seterusnya di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua.Semenjak di bangku sekolah lagi , P.Ramlee telah menunjukkan minat dan bakat dalam bidang seni , terutamanya dalam seni muzik.Di Penang Free , P.Ramlee belajar seni muzik dengan Encik Kamaruddin iaitu pemimpin Brass Band di sekolah tersebut.

Semasa pendudukan Jepun di Malaya , P.Ramlee pernah memasuki sekolah tentera laut Jepun ( Kaigun ).Di sini beliau berpeluang mempelajari lagu-lagu Jepun.Penglibatan beliau dalam dunia muzik bermula dengan pancaragam “ Teruna Kampung “.Dalam pertandingan keroncong seluruh Pulau Pinang dan Seberang Perai yang diadakan dalam tahun 1947 , pancaragam beliau menjadi juara dengan lagu ‘ Keroncong Oh Suci ‘ yang dinyanyikan oleh P.Ramlee.
P.Ramlee semasa muda

Pada tahun 1964 , P.Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur dan bertugas di Studio Merdeka milik Merdeka Film Productions di Hulu Kelang.Sepanjang hayat P.Ramlee telah berlakon kira-kira 66 buah filem , mengarah 37 buah filem dan mencipta sebanyak 250 buah lagu.Namun setiap yang hidup pasti akan merasai kematian , awal pagi Selasa bersamaan 29 April 1973.P.Ramlee telah meninggal dunia secara mengejut akibat serangan sakit jantung ketika berusia 44 tahun.Beliau meninggal dunia di dalam ambulans sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Besar Kuala Lumpur.


Walaupun beliau sudah lama meninggalkan alam yang fana ini , jasa dan baktinya dalam arena seni sentiasa kekal dalam ingatan.Pada 6 Jun 1990 , Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-9 telah menganugerahkan beliau bintang Darjah Panglima Setia Mahkota ( DPSM ) yang membawa gelaran Tan Sri.
solat jenazah P.Ramlee
Gambar - gambar semasa beliau kembali ke Rahmahtullah

Mungkin ramai yg tak pernah tgk termasuk saya.
Al-Fatihah buat Alllahyarham P.Ramlee

      Foto terakhir P. Ramlee yang diambil beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia

Hancur badan dikandung tanah Budi baik dikenang juga Biar alam hancur dan musnah Jasa mu tetap dikenang juga Semoga Allah S.W.T mencucurkan rahmat ke atas roh beliau. Al-Fatihah.

Rabu, 19 September 2012

 
10 petanda
menunjukkan dia adalah jodoh kita




Gunakan seluruh pancaindera,Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan yang maha esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya.

Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang lovely perkatakan? Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita ;

1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.

Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2. Senang atau selesa bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.

Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3. Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan.

Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini.

Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita.

Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan.

Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung.

Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka.

Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.

Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama.

Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan.

Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar.

Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita.

Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, ‘lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih.

Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut.Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita.

Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9. Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya.Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.

Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10. Mimpi
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi.Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya.

Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita..?

“ Manusia merancang, Allah menentukan..”

Jumaat, 27 Julai 2012


Jangan kahwini wanita yang ada sifat ini

Pesanan Rasulullah saw untuk kaum Lelaki: “Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang basaqah dan yang syadaqah”.

1. Wanita Ananah : wanita yang banyak mengomen itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga semua tidak kena dan tidak berpuas hati.

2. Wanita Mananah : wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Biasanya wanita ini bekerja atau berkedudukan tinggi dan bergaji besar.

3. Wanita Hananah : Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain dan wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Wanita sebegini yang mengkufuri nikmat perkahwinan. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya.

4. Wanita Hadaqah : melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya utk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya selain itu wanita ini suka ikut nafsunya. Wanita sebigini memeningkan kepala lelaki. Dia tenguk apa saja dia mahu. Dia suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain. Suka menunjuk-nujuk. Wanita inilah yang menjadikan suami dulu handsome sekarang sudah botak.

5. Wanita Basaqah : ada 2 makna,
Pertama, wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghias diri bukan untuk suaminya tetapi untuk ditunjuk-tujukkan kepada dunia. Suka melawa. Wangnya dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. Kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua dalam kumpulan itu, orang lain tidak boleh mengatasi dirinya.
Kedua, dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6. Wanita Syadaqah : banyak cakap, tidak menentu lagi bising. Kebecokan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi, hanya tukang sibuk dan komen saja

harakahdaily/-


Khamis, 22 Mac 2012

KISAH DI MEMBAKUT,SABAH.

 
  MAT CONGO BERCERITA TENTANG RUMAH LADANG DAN  
KENANGAN LAMA DI MEMBAKUT 
"DIA memang nak tunggu aku," kata Bang Mat. Dia yang dimaksudkannya itu adalah sebuah rumah lama di Estate Membakut. Rumah ini seperti menunggu saya pulang, kata Bang Mat. Di depan tangga rumah yang kelihatan masih berdiri gagah itu,Bang Mat menitiskan air mata. Beliau terkenang masa kecilnya ketika tinggal dan bekerja di ladang itu
.
   Bang Mat atau nama sebenarnya Muhammad Haji Salleh mengajak saya ke rumah lama itu.
"Dulu tak ada pokok kelapa sawit," katanya yang datang bekerja di Membakut ketika usianya 14 tahun. Tahun 1961.Ketika itu, yang ada hanya ladang getah, kata seniman dan pelakon terkenal yang lebih dikenali sebagai Mat Congo itu.
Beliau mengimbas semula masa lampaunya ketika mula sampai ke Membakut, dibawa oleh salah seorang bapa saudaranya untuk bekerja memotong getah. Pakciknya,Jaafar Haji Salleh waktu itu bekerja sebagai mandor.
Pada usia semuda itu, Bang Mat sudah merantau ke Sabah, berjauhan dengan keluarganya di Batu Pahat Johor. Beliau bekerja sebagai penoreh getah. Saya bertanya mengapa bin mereka sama, iaitu sama-sama dibinkan kepada Haji Salleh?
"Nama bapa saya Ibrahim," katanya memberitahu. Tetapi ketika mendaftar di Jabatan Pendaftaran masa itu terjadi sedikit kekeliruan. "Kerani bertanya kepada bapa saya `Siapa nama bapanya?' Terus dijawapnya `"Haji Salleh' kerana menyangka yang ditanya ialah nama ayah kepada Ibrahim,iaitu Haji Salleh padahal sebenarnya kerani itu bertanyakan namanya.
"Itulah sebabnya saya dibinkan kepada atuk saya iaitu Haji Salleh," katanya. Sambil melihat rumah itu, Bang Mat menceritakan semula kisahnya datang ke Sabah. Walau masih kecil ketika itu tetapi dia dapat mengingat semua kedatangannya ke Baitam, iaitu tempat letaknya estate Membakut, masih teringat kerja rutin memotong getah. Selain itu pula, bang Mat ingat bagaimana susah dan sukarnya kehidupan ketika itu. Menanak nasi dengan ikan kering dan sebagainya.
Kalau Bang Mat ke Pekan Membakut, bagaimana pula? Saya bertanya.
Dulu kami jalan kaki saja ke pekan Membakut. Waktu itu kan nda ada kereta, katanya. Waktu itu jalan tidak sebaik begini. Beliau kemudian menunjukkan laluan yang mereka gunakan dan akhirnya membawa saya ke Pekan Lama Membakut. Terlihat deretan kedai lama yang berusia,lebih seratus tahun. Dulu sederet kedai telah musnah akibat kebakaran. Sekarang tinggal sederet lagi dan di seberang laluan keretapi, terdapat dua deret kedai lama, yang membayangkan berapa Membakut dulu makmur dengan hasil ladang getah.
Pekan Lama Membakut itu boleh menjadi salah satu warisan sejarah yang berharga. Ia menyimpan sejarahnya yang tersendiri sama dengan pekan-pekan lain seperti Weston, Bongawan, Kinarut, Kimanis dan lain-lain.
Menurut cerita Membakut berasal dari perkataan "Bakut" yang bermaksud "Kota" manakala perkataan "Mem" adalah kata perbuatan yang apabila digabungkan "Membakut" bermaksud "Membuat Kota'. Membakut kini telah menjadi sebuah daerah kecil seluas 132.8 km meliputi 38 buah kampung. Kebanyakan penduduknya bekerja bercucuk tanam sebagai petani, nelayan, penoreh getah, kelapa sawit dan sebagainya. Masyarakatnya berbilang kaum iaitu suku kaum Brunei, Kadazan, Dusun, Paitan, Kawa, Bisaya dan lain-lain.
Sambil makan soto di sebuah kedai orang Jawa di pekan lama itu, pekan yang didirikan sekitar 1898, saya bertanyakan pengalaman yang dilalui bang Mat, yang tiba-tiba dipanggil `Om' oleh orang-orang yang menyapanya. Panggilan `Om' itu melekat kepadanya kerana pernah berlakon dalam satu telemovie `Orang Kita' bersama Ampal.
Setelah bekerja beberapa tahun Membakut Estate, kata Bang Mat, beliau berpindah ke Estate Mawao juga memotong getah, salai getah dan sebagainya. Tahun 1963, kalau tak silap Kemudian beliau berjalan kaki ke Lumahat. Dari Lumahat beliau berjalan kaki lagi ke Beaufort.Dari Beaufort beliau berjalan kaki ke Jempanga "Tidur rumah kawan, pinjam duit, baru pergi Melalap, "katanya lagi.
Di Melalap, bang Mat bekerja sebagai penoreh getah. Beliau tidak turun menoreh hanya kalau hari hujan.Waktu sebegitu digunakannya untuk turun ke pekan. "Aku tunggu kereta PWD menumpang ke Tenom," katanya. Sampai di Tenom, beliau melihat ada pengambilan rekrut. Sebelum itu, di Beaufort, beliau telahpun mengikuti temuduga itu tetapi gagal kerana `timbangannya ringan, belum cukup berat". Beliau bernasib baik kerana dipilih sebagai askar 2 Renjer.
Ketika menghadiri temuduga itu, beliau ditanya mengenai `Kira-Kira' ." Kalau 5 campur 20, saya tahu jawapannya 25. kalau tolak lima, jadi 20. Tapi kalau 20 bahagi empat, aku nda tahu tu," katanya sambil tertawa lucu mengingat waktu temuduga itu. Tapi nasib menyebelahinya, beliau lulus bersama beberapa orang yang lain.
Setelah lulus dan kembali ke Melalap, beliau tidak datang kerja kerana bersiap-siap. Apabila ketidakhadirannya disedari oleh pengurus, Tuan Steel memanggilnya. "Kenapa tidak kerja? You Malas?" "Aku beritahu dia, aku diterima jadi tentera". Orang Putih itu gembira dan menyuruh bang Mat berjumpa ketua kerani untuk ambil upah. Setelah ditolak, beliau masih mempunyai baki hutang. Tetapi orang putih itu memberikannya RM100 sebagai galakan bang Mat menjadi askar dan berkata kini sudah sampai masanya "you jaga you punya negeri".
Pada tahun 1965, beliau bersama rakan rakan barunya seperti Jamal, Amparang dan lain-lain bertolak ke Kepayan sebelum dihantar naik kapal laut ke Woodland Singapura. Hanya satu malam di sana, beliau kemudian menjalani latihan di Ipoh. Sebagai anggota 2 Renjer, beliau telah bertugas di beberapa tempat di Tawau, Ulu Selangor, ke Labuan, pada 1969 balik ke Lok Kawi,kemudian ditumpangkan ke bahagian perisikan pada 1980, bertugas di Mes Pegawai. Setelah bertugas selama 15 tahun dalam perkhidmatan tentera, beliau bersara pada 1981. Banyak pengalaman dalam tentera, katanya, tapi itu nanti kita cerita waktu yang lain.
Sewaktu berkhidmat dalam tentera itu,gelaran Mat Congo melekat pada namanya. Ceritanya pada masa itu, teralu ramai askar yang bernama Mat. Ada lebih sepuluh Mat. Ada bermacam-macam Mat.Semua dipanggil dengan nama Mat Misai, Mat Panjang dan sebagainya. Tiba gilirannya, beliau ditanya Mat apa? Oleh kerana pegawainya, pernah berkhidmat di Congo, maka beliau memanggil bang Mat dengan nama Mat Congo, nama yang melekat kepadanya hingga sekarang.
Ketika masih berkhidmat dalam tentera, betsama Askar Melayu,beliau pernah menyanyi bersama Allahyarham Seniman Agung P.Ramlee, Latifah Omar, Saloma Seniman AK Jailani dan sebagainya, Beliau sempat menjelajah ke seluruh negara mengisi tabung tentera. Bersama Askar Melayu juga , bang Mat pernah menyanyikan pelbagai lagu, termasuk lagu Hindustan yang popular dalam filem sangam. Sebelum bersara, beliau menjalani masa peralihan di RTM selama enam bulan. Di sana, bang Mat menjadi DJ Sambilan Mari Ke Pesta.
Selepas menghidu peluang yang lebih besar dalam industri hiburan, bang Mat nekad menjadi promoter artis dan berulang alik antara Kota Kinabalu-Kuala Lumpur-Jakarta, dan mendatangkan penyanyi-penyanyi terkenal Indonesia untuk membuat persembahan di Sabah. Antara penyanyi yang pernah dibawanya untuk membuat persembahan di Sabah ialah Lydia Kandou, Benjamin S, Mus Mulyadi, Endang S.Taurina, Betahria Sonatha, Ros Kasumadewi, Iis Sugianto,Ernie Johan. "Itu semua rakan saya," katanya sambil mengakui hubungannya dengan penyanyi Mus Mulyadi agak rapat. Tapi sekarang. Mus Mulyadi khabarnya tidak dapat melihat akibat penyakit kencing manis.
Perjalanan hidup bang Mat atau Mat Congo memang masih banyak yang boleh ditulis. Beliau seorang personaliti yang terkenal. Beliau pernah berkhidmat dalam tentera, dengan pelbagai tugasan dan menjayakan misi Negara, pernah berlakon, pernah membuat persembahan di seluruh negara, dan salah seorang yang berjasa dalam industri hiburan di Sabah dan kini masih aktif. Selain itu, bang Mat telah melahirkan generasi yang berkualiti, anak-anaknya berjaya ke pengajian tinggi, dan mencipta kerjaya masing-masing.
    Itulah yang diceritakan kepada saya oleh Bang Mat ketika kami berkunjung ke rumah lama di Estate Membakut itu.Rumah yang membawa banyak nostalgia kepadanya.Beliau teringat rakan-rakannya ketika menjadi penoreh getah, Wak Sakimin, pak Sarpan, dan ramai lagi. Beliau masih ingat ketika berjalan kaki ke Lumahat, Beaufot,Jempanga, Melalap sebelum menjadi anggota 2 Renjer dan kemudian selepas bersara, menjadi salah seorang personaliti seniman yang terkenal di negeri ini. "Rumah ini seperti menunggu saya pulang," katanya ketika kami berkunjung ke Membakut.Beliau amat teruja kerana rumah itu masih kekal gagah dan tidak dirobohkan. Beliau bersyukur kerana masih berpeluang melihat dan berkunjung ke rumah lamanya itu. Air matanya menitis terkenang kisah lama.