MAT CONGO BERCERITA TENTANG RUMAH LADANG DAN
KENANGAN LAMA DI MEMBAKUT
"DIA
memang nak tunggu aku," kata Bang Mat. Dia yang dimaksudkannya itu
adalah sebuah rumah lama di Estate Membakut. Rumah ini seperti menunggu
saya pulang, kata Bang Mat. Di depan tangga rumah yang kelihatan masih
berdiri gagah itu,Bang Mat menitiskan air mata. Beliau terkenang masa kecilnya ketika tinggal dan bekerja di ladang itu
.
Bang Mat atau nama sebenarnya Muhammad Haji Salleh mengajak saya ke rumah lama itu.
"Dulu
tak ada pokok kelapa sawit," katanya yang datang bekerja di Membakut
ketika usianya 14 tahun. Tahun 1961.Ketika itu, yang ada hanya ladang
getah, kata seniman dan pelakon terkenal yang lebih dikenali sebagai Mat Congo itu.
Beliau
mengimbas semula masa lampaunya ketika mula sampai ke Membakut, dibawa
oleh salah seorang bapa saudaranya untuk bekerja memotong getah.
Pakciknya,Jaafar Haji Salleh waktu itu bekerja sebagai mandor.
Pada
usia semuda itu, Bang Mat sudah merantau ke Sabah, berjauhan dengan
keluarganya di Batu Pahat Johor. Beliau bekerja sebagai penoreh getah.
Saya bertanya mengapa bin mereka sama, iaitu sama-sama dibinkan kepada
Haji Salleh?
"Nama bapa saya Ibrahim," katanya memberitahu. Tetapi ketika mendaftar di Jabatan Pendaftaran masa itu
terjadi sedikit kekeliruan. "Kerani bertanya kepada bapa saya `Siapa
nama bapanya?' Terus dijawapnya `"Haji Salleh' kerana menyangka yang
ditanya ialah nama ayah kepada Ibrahim,iaitu Haji Salleh padahal sebenarnya kerani itu bertanyakan namanya.
"Itulah
sebabnya saya dibinkan kepada atuk saya iaitu Haji Salleh," katanya.
Sambil melihat rumah itu, Bang Mat menceritakan semula kisahnya datang
ke Sabah. Walau masih kecil ketika itu tetapi dia dapat mengingat semua
kedatangannya ke Baitam, iaitu tempat letaknya estate Membakut, masih
teringat kerja rutin memotong getah. Selain itu pula, bang Mat ingat
bagaimana susah dan sukarnya kehidupan ketika itu. Menanak nasi dengan
ikan kering dan sebagainya.
Kalau Bang Mat ke Pekan Membakut, bagaimana pula? Saya bertanya.
Dulu kami jalan kaki saja ke pekan Membakut. Waktu
itu kan nda ada kereta, katanya. Waktu itu jalan tidak sebaik begini.
Beliau kemudian menunjukkan laluan yang mereka gunakan dan akhirnya
membawa saya ke Pekan Lama Membakut. Terlihat deretan kedai lama yang
berusia,lebih seratus tahun. Dulu sederet kedai telah musnah akibat
kebakaran. Sekarang tinggal sederet lagi dan di seberang laluan
keretapi, terdapat dua deret kedai lama, yang membayangkan berapa
Membakut dulu makmur dengan hasil ladang getah.
Pekan
Lama Membakut itu boleh menjadi salah satu warisan sejarah yang
berharga. Ia menyimpan sejarahnya yang tersendiri sama dengan
pekan-pekan lain seperti Weston, Bongawan, Kinarut, Kimanis dan
lain-lain.
Menurut
cerita Membakut berasal dari perkataan "Bakut" yang bermaksud "Kota"
manakala perkataan "Mem" adalah kata perbuatan yang apabila digabungkan
"Membakut" bermaksud "Membuat Kota'. Membakut kini telah menjadi sebuah
daerah kecil seluas 132.8 km meliputi
38 buah kampung. Kebanyakan penduduknya bekerja bercucuk tanam sebagai
petani, nelayan, penoreh getah, kelapa sawit dan sebagainya.
Masyarakatnya berbilang kaum iaitu suku kaum Brunei, Kadazan, Dusun,
Paitan, Kawa, Bisaya dan lain-lain.
Sambil
makan soto di sebuah kedai orang Jawa di pekan lama itu, pekan yang
didirikan sekitar 1898, saya bertanyakan pengalaman yang dilalui bang
Mat, yang tiba-tiba dipanggil `Om' oleh orang-orang yang menyapanya.
Panggilan `Om' itu melekat kepadanya kerana pernah berlakon dalam satu
telemovie `Orang Kita' bersama Ampal.
Setelah bekerja beberapa tahun Membakut Estate, kata Bang Mat, beliau
berpindah ke Estate Mawao juga memotong getah, salai getah dan sebagainya.
Tahun 1963, kalau tak silap Kemudian beliau berjalan kaki ke Lumahat.
Dari Lumahat beliau berjalan kaki lagi ke Beaufort.Dari Beaufort beliau
berjalan kaki ke Jempanga "Tidur rumah kawan, pinjam duit, baru pergi
Melalap, "katanya lagi.
Di
Melalap, bang Mat bekerja sebagai penoreh getah. Beliau tidak turun
menoreh hanya kalau hari hujan.Waktu sebegitu digunakannya untuk turun
ke pekan. "Aku tunggu kereta PWD menumpang ke Tenom," katanya. Sampai di
Tenom, beliau melihat ada pengambilan rekrut. Sebelum itu, di Beaufort,
beliau telahpun mengikuti temuduga itu tetapi gagal kerana
`timbangannya ringan, belum cukup berat". Beliau bernasib baik kerana
dipilih sebagai askar 2 Renjer.
Ketika menghadiri temuduga itu, beliau ditanya mengenai `Kira-Kira' ." Kalau 5 campur
20, saya tahu jawapannya 25. kalau tolak lima, jadi 20. Tapi kalau 20
bahagi empat, aku nda tahu tu," katanya sambil tertawa lucu mengingat
waktu temuduga itu. Tapi nasib menyebelahinya, beliau lulus bersama
beberapa orang yang lain.
Setelah
lulus dan kembali ke Melalap, beliau tidak datang kerja kerana
bersiap-siap. Apabila ketidakhadirannya disedari oleh pengurus, Tuan
Steel memanggilnya. "Kenapa tidak kerja? You Malas?" "Aku beritahu dia,
aku diterima jadi tentera". Orang Putih itu gembira dan menyuruh bang
Mat berjumpa ketua kerani untuk ambil upah. Setelah ditolak, beliau
masih mempunyai baki hutang. Tetapi orang putih itu memberikannya RM100
sebagai galakan bang Mat menjadi askar dan berkata kini sudah sampai
masanya "you jaga you punya negeri".
Pada
tahun 1965, beliau bersama rakan rakan barunya seperti Jamal, Amparang
dan lain-lain bertolak ke Kepayan sebelum dihantar naik kapal laut ke
Woodland Singapura. Hanya satu malam di sana, beliau kemudian menjalani
latihan di Ipoh. Sebagai anggota 2 Renjer, beliau telah bertugas di
beberapa tempat di Tawau, Ulu Selangor, ke Labuan, pada 1969 balik ke
Lok Kawi,kemudian ditumpangkan ke bahagian perisikan pada 1980, bertugas di
Mes Pegawai. Setelah bertugas selama 15 tahun dalam perkhidmatan
tentera, beliau bersara pada 1981. Banyak pengalaman dalam tentera,
katanya, tapi itu nanti kita cerita waktu yang lain.
Sewaktu
berkhidmat dalam tentera itu,gelaran Mat Congo melekat pada namanya.
Ceritanya pada masa itu, teralu ramai askar yang bernama Mat. Ada lebih
sepuluh Mat. Ada bermacam-macam Mat.Semua dipanggil dengan nama Mat
Misai, Mat Panjang dan sebagainya. Tiba gilirannya, beliau ditanya Mat
apa? Oleh kerana pegawainya, pernah berkhidmat di Congo, maka beliau
memanggil bang Mat dengan nama Mat Congo, nama yang melekat kepadanya hingga sekarang.
Ketika
masih berkhidmat dalam tentera, betsama Askar Melayu,beliau pernah
menyanyi bersama Allahyarham Seniman Agung P.Ramlee, Latifah Omar,
Saloma Seniman AK Jailani dan sebagainya, Beliau sempat menjelajah ke
seluruh negara mengisi tabung tentera. Bersama Askar Melayu juga , bang
Mat pernah menyanyikan pelbagai lagu, termasuk lagu Hindustan yang
popular dalam filem sangam. Sebelum bersara, beliau menjalani masa
peralihan di RTM selama enam bulan. Di sana, bang Mat menjadi DJ
Sambilan Mari Ke Pesta.
Selepas
menghidu peluang yang lebih besar dalam industri hiburan, bang Mat
nekad menjadi promoter artis dan berulang alik antara Kota
Kinabalu-Kuala Lumpur-Jakarta, dan mendatangkan penyanyi-penyanyi
terkenal Indonesia untuk membuat persembahan di Sabah. Antara penyanyi
yang pernah dibawanya untuk membuat persembahan di Sabah ialah Lydia
Kandou, Benjamin S, Mus Mulyadi, Endang S.Taurina, Betahria Sonatha, Ros
Kasumadewi, Iis Sugianto,Ernie Johan. "Itu semua rakan saya," katanya
sambil mengakui hubungannya dengan penyanyi Mus Mulyadi agak rapat. Tapi
sekarang. Mus Mulyadi khabarnya tidak dapat melihat akibat penyakit kencing manis.
Perjalanan
hidup bang Mat atau Mat Congo memang masih banyak yang boleh ditulis.
Beliau seorang personaliti yang terkenal. Beliau pernah berkhidmat dalam
tentera, dengan pelbagai tugasan dan menjayakan misi Negara, pernah
berlakon, pernah membuat persembahan di seluruh negara, dan salah
seorang yang berjasa dalam industri hiburan di Sabah dan kini masih
aktif. Selain itu, bang Mat telah melahirkan generasi yang berkualiti,
anak-anaknya berjaya ke pengajian tinggi, dan mencipta kerjaya
masing-masing.
Itulah
yang diceritakan kepada saya oleh Bang Mat ketika kami berkunjung ke
rumah lama di Estate Membakut itu.Rumah yang membawa banyak nostalgia
kepadanya.Beliau teringat rakan-rakannya ketika menjadi penoreh getah,
Wak Sakimin, pak Sarpan, dan ramai lagi. Beliau masih ingat ketika
berjalan kaki ke Lumahat, Beaufot,Jempanga, Melalap sebelum menjadi
anggota 2 Renjer dan kemudian selepas bersara, menjadi salah seorang
personaliti seniman yang terkenal di negeri ini. "Rumah ini seperti
menunggu saya pulang," katanya ketika kami berkunjung ke Membakut.Beliau
amat teruja kerana rumah itu masih kekal gagah dan tidak dirobohkan.
Beliau bersyukur kerana masih berpeluang melihat dan berkunjung ke rumah
lamanya itu. Air matanya menitis terkenang kisah lama.